PERJUANGAN ZII JIA BERAKHIR DI BANGKOK
PERJUANGAN ZII JIA BERAKHIR DI BANGKOK
KUALA LUMPUR: Perjuangan Lee Zii Jia selama empat minggu di Thailand secara tidak rasminya berakhir selepas dia mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di Bangkok, sebentar tadi.
Peluang pemain perseorangan lelaki negara itu untuk ke separuh akhir sudah tertutup selepas tewas di tangan idolanya yang juga pilihan pertama kejohanan, Viktor Axelsen dari Denmark 15-21, 14-21.
Semalam, Zii Jia, 23, tewas dalam aksi pembukaan kumpulan di tangan pemain Taiwan, Chou Tien Chen, lapor BH Online.
Esok, dia akan melengkapkan baki perlawanan peringkat kumpulan menentang pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, yang juga sudah tidak berpeluang untuk ke separuh akhir selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal mengekalkan momentum selepas menang aksi pertama Kumpulan B, semalam apabila tewas di tangan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 17-21, 9-21.
Mereka perlu menang ke atas pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dalam aksi terakhir kumpulan untuk layak ke separuh akhir.