PKPB BERHASIL DI LEMBAH KLANG, SABAH
Berita Nasional
PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) BERHASIL DI LEMBAH KLANG, SABAH
PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang dan Sabah menunjukkan hasil apabila kadar kebolehjangkitan COVID-19 kini pada paras 1.1, selepas dua minggu pelaksanaannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menunjukkan pengurangan daripada unjuran pada awal gelombang ketiga jangkitan iaitu 2.2 dan unjuran kedua yang dibuat minggu lalu iaitu pada kadar 1.5.
“Kita bermula dengan gelombang ketiga pada 20 September 2020. Ketika itu kita tidak pasti dan pada perkiraan kita kadar kebolehjangkitan 2.2 iaitu kita akan melihat kes harian antara 4,500 dan 5,000.
“Tetapi kita dapati kita berjaya laksanakan PKPB iaitu di Lembah Klang dan juga di Sabah. Selepas pelaksanaan PKPB, kita lihat minggu lalu, kadar kebolehjangkitan kita menjadi 1.5,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, biarpun ada lonjakan kes pada dua tarikh iaitu 1,228 pada 24 Oktober dan 1,240 dua hari kemudian yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan melebihi 1.5, secara purata ia kurang daripada unjuran 1.5 yang diletakkan Kementerian Kesihatan.
Namun, katanya, kadar kebolehjangkitan 1.1 masih tidak mencukupi kerana kes masih meningkat secara perlahan-lahan.
Justeru, katanya, KKM akan terus mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam untuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan menjadi kurang daripada 1.
Seperti selalu, Dr Noor Hisham mengharapkan kerjasama daripada seluruh rakyat Malaysia untuk duduk di rumah jika tidak ada keperluan untuk berada di luar kediaman masing-masing selain mematuhi semua SOP yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, jika ia dapat dilakukan, KKM menjangkakan dalam tempoh dua minggu lagi lengkung kebolehjangkitan boleh terus dikurangkan atau dilandaikan manakala tempoh antara tiga hingga empat minggu di Sabah.
Sumber : BH Online