PERINTAH BERKURUNG DITAMATKAN
Berita Global
PERINTAH BERKURUNG DITAMATKAN
MELBOURNE: Perintah berkurung di Melbourne akan ditamatkan pada Isnin, selepas hampir dua bulan dilaksanakan di bandar kedua terbesar Australia itu dalam usaha mengekang peningkatan mendadak COVID-19.
Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, berkata penduduk Melbourne bebas keluar dari kediaman mereka pada bila-bila masa untuk bekerja, bersenam dan membeli barang keperluan.
Kelonggaran itu diberikan selepas 16 jangkitan baharu dan dua kematian dilaporkan di Victoria pada Ahad serta kes aktif negeri terbabit menurun di bawah paras 400 untuk pertama kalinya sejak 30 Jun lalu
Perintah berkurung dikuatkuasakan di Melborune pada 2 Ogos lalu, bersamaan dengan sekatan lain ekoran berlaku lonjakan kes COVID-19 di bandar yang memiliki populasi sekitar lima juta orang.
Andrew berkata keputusan itu tidak dibuat secara sewenang-wenangnya tetapi tiada mana-mana pihak berhak untuk meletakkan semua risiko terhadap warga Victoria.
Bagaimanapun pergerakan orang ramai masih terbatas dalam lingkungan lima kilometer (km) dari kediaman mereka dan denda bagi yang melanggar sekatan lain akan dinaikkan menjadi AS$3,515 (RM14,662) bagi menghalang perbuatan itu.
Melbourne, ibu kota Victoria menjadi pusat gelombang kedua Australia selepas virus tersebar dari hotel yang menjadi pusat kuarantin perantau pulang dari luar negara.
Menurut Andrews beberapa sekatan lain juga akan ditarik semula, sekali gus membolehkan pekerja di industri tertentu kembali dan majlis keagamaan dalam skala kecil disambung semula.
Murid sekolah rendah akan kembali ke kelas mulai pertengahan Oktober dan pusat jagaan kanak-kanak turut akan dibuka semula dengan segera.
Lawatan ke hospital dan kemudahan penjagaan warga emas dibenarkan dengan syarat yang ketat, namun lawatan ke rumah akan tetap dilarang serta perjumpaan di luar rumah terhad kepada lima orang dari dua isi rumah.
Andrews berkata kediaman adalah antara persekitaran yang paling berisiko untuk penularan virus.
Secara relatifnya, Australia berjaya membendung penyebaran COVID-19, dengan merekodkan lebih 27,000 kes dan 872 kematian daripada populasi penduduk seramai 25 juta orang.
Sumber: AFP