PERINTAH BERKURUNG CETUS KEMARAHAN
Berita Global
PERINTAH BERKURUNG CETUS KEMARAHAN
BAITULMAQDIS: Kemarahan orang ramai memuncak di Israel terhadap arahan perintah berkurung kali kedua, selepas individu berprofil tinggi dilaporkan melanggar peraturan itu, termasuk isteri Perdana Menteri yang mendapatkan khidmat pendandan rambut.
Israel, antara yang mencatatkan kadar jangkitan COVID-19 per kapita paling tinggi di dunia, melaksanakan semula sekatan ketat terhadap pergerakan dengan penduduk hanya dibenarkan berada dalam lingkungan jarak satu kilometer dari kediaman mereka.
Hanya pekerja dalam sektor penting dibenarkan keluar rumah, sekali gus meningkatkan lagi tekanan terhadap ekonomi yang sedia terjejas.
Seorang jurucakap kepada keluarga Benjamin Netanyahu, mempertahankan tindakan isteri Perdana Menteri itu memanggil pendandan rambut ke kediaman rasmi mereka, dengan mendakwa ia berkait sebahagian daripada usaha beliau untuk mengekang penularan virus berkenaan.
Menurut kenyataan terbabit, Sara Netanyahu membuat janji temu itu sebelum ‘menjalani rakaman video di mana beliau menyeru semua orang supaya memakai pelitup muka’.
“Beliau adalah figura berpengaruh, manakala rakaman itu merupakan video maklumat untuk khidmat awam. Beliau menganggap khidmat pendandan rambut boleh digunakan seperti lazim dalam saluran televisyen,” menurut kenyataan itu lagi.
Sumber: AFP