PERHALUSI SEMULA KEPUTUSAN BATAL PIALA MALAYSIA
AHLI PARLIMEN CADANG MKN LEBIH REALISTIK
KUALA LUMPUR: Keputusan pembatalan saingan Piala Malaysia musim ini perlu diperhalusi semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan kejohanan itu hanya melibatkan beberapa perlawanan lagi, lapor Bernama hari ini.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dipetik sebagai berkata, baki perlawanan tersebut boleh diadakan di negeri-negeri tidak terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti Pahang, Kelantan dan Perlis.
AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim
“Pemain boleh diasingkan dalam gelembung sukan sepanjang musim selain pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lain,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat hari ini.
Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu turut mencadangkan pemberian geran khas one-off hingga RM100,000 kepada persatuan sukan kebangsaan serta geran aktiviti untuk persatuan sukan lain di semua peringkat.
Menurutnya, ia bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan selain peruntukan RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk memperluas jaringan keselamatan dan kebajikan bekas atlet negara.