PERANAN MEDIA SOSIAL PENTING
80 PERATUS WARGA MAYA TERIMA MAKLUMAT MELALUI MEDIA SOSIAL
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang berterima kasih kepada penggiat media sosial di negeri ini secara tidak langsung bertindak sebagai penyampai maklumat tepat kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peranan media sosial sebagai media baharu sangat penting serta boleh berhubung dengan pantas dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat ketika ini.
“Dalam keadaan teknologi serba pantas, pelbagai maklumat yang tidak benar juga mudah menembusi tahap kepercayaan orang ramai yang boleh membahayakan keselamatan dan kemakmuran negeri.
“Oleh itu, pihak kerajaan Pahang perlu memperkemaskan jentera media sosial demi menjamin maklumat tepat dapat disampaikan sampai kepada kira-kira 500,000 pengundi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertemuan Dengan Penggiat Media Sosial Negeri Pahang, di Kuantan, semalam.
Katanya, kira-kira 80 peratus warga maya menerima maklumat terus dari media sosial yang belum tentu sahih, justeru setiap EXCO kerajaan negeri sepatutnya mempunyai kru media sosial untuk menangkis kekeliruan yang timbul.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, penganjuran majlis itu adalah sebagai tanda terima kasih peranan dimainkan penggiat media sosial di Pahang.
“Ini sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kepada kumpulan media sosial yang turut membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat kepada orang ramai bahkan kepada pihak kerajaan untuk mendapat maklumat daripada rakyat.
“Peranan dua hala sebegini amat penting demi kelangsungan peranan kerajaan terhadap rakyat negeri selain mengumpul maklumat penting keperluan dan suara hati rakyat kepada kerajaan,” katanya.