Peralihan monsun bermula 29 Mac
Peralihan monsun bermula 29 Mac
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac ini dan berterusan sehingga Mei depan.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang bermula sejak 13 November tahun lalu.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang berpotensi menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
“Keadaan ini lazimnya menyebabkan kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam.
“Kawasan yang dijangka terjejas termasuk barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan cuaca tidak menentu itu berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan sentiasa peka terhadap ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Katanya, maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca dan media sosial rasmi jabatan berkenaan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.-SAHIH
