PERAKAM SUARA KOKPIT (CVR) PESAWAT SRIWIJAYA AIR SJ-182 DALAM PENCARIAN
PERAKAM SUARA KOKPIT (CVR) PESAWAT SRIWIJAYA AIR SJ-182 DALAM PENCARIAN
JAKARTA: Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) meneruskan pencarian secara manual bagi perakam suara kokpit (CVR) pesawat Sriwijaya Air SJ-182 yang terhempas di perairan Kepulauan Seribu.
“Pencarian perakam CVR berterusan tanpa bantuan peralatan pencarian lokasi dasar laut. Oleh itu, kami mencarinya sendiri di dasar laut. Itulah kesukaran yang sedang kami hadapi,” kata ketua KNKT Soerjanto Tjahjono ketika perbicaraan dengan Suruhanjaya V Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di sini, hari ini.
Katanya, pencarian CVR itu diteruskan bagi tujuan siasatan lanjut.
Jelasnya, CVR memainkan peranan penting dalam merakam suara dari empat saluran di dalam pesawat dengan masing-masing suara daripada mikrofon juruterbang, suara daripada kokpit dan saluran terpelihara (kokpit dan antara telefon kabin).
“Perakam data penerbangan (FDR) dan CVR adalah komponen penting dalam penyiasatan kerana ia merekod data penerbangan seperti waktu, ketinggian, kelajuan, koordinat dan sebagainya,” katanya.
FDR SJ-182 ditemui pada 12 Januari lalu, iaitu tiga hari selepas pesawat itu terhempas.
“Daripada buku log pesawat, kami tidak menemui (data) kerosakan yang signifikan antara 6 hingga 9 Januari,” kata Tjahjono.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Budi Karya Sumadi, berkata operasi pencarian pesawat Sriwijaya Air yang terhempas itu secara rasminya berakhir pada 21 Januari lalu seiring peraturan.
Katanya, pencarian memori CVR sudah berlanjutan kerana ia terpisah dari tempatnya, yang diambil pada 15 Januari.
Operasi pencarian bersama selama 13 hari untuk pesawat SJ-182 membabitkan anggota tentera, polis dan pasukan lain.
Lebih 4,300 anggota, 63 kapal dan 15 pesawat digerakkan bagi operasi bersama.
Pasukan pencarian bersama mengumpul 324 beg mayat, 68 serpihan kecil pesawat dan 55 beg serpihan besar dari lokasi nahas.
Pesawat itu membawa 50 penumpang dan 12 anak kapal dengan 40 dewasa, tujuh kanak-kanak dan tiga adalah bayi,lapor AGENSI