PERAGUT TERHUMBAN DALAM LONGKANG
Berita Jenayah
MOTOSIKAL TERBABAS AKIBAT PANIK
KUALA LUMPUR: Seorang peragut terpaksa menahan kesakitan apabila motosikal ditunggangnya terhumban ke dalam longkang selepas meragut seorang remaja perempuan di hadapan sebuah sekolah rendah di Jalan Sekolah, Seri Kembangan dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa ragut yang berusia 17 tahun dikatakan menjerit meminta pertolongan sebaik diragut dan dipercayai menyebabkan suspek panik sebelum memecut motosikalnya untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh masuk ke dalam longkang tidak jauh dari tempat kejadian.
Orang ramai yang mendengar jeritan mangsa berjaya menangkap suspek yang ketika itu terbaring kesakitan di tepi longkang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata polis yang menerima laporan kejadian pada jam 5.30 petang, menghantar sepasukan anggota dan menahan suspek.
“Pemeriksaan menemui beberapa telefon bimbit yang disyaki dicuri dan juga beberapa paket disyaki berisi dadah.
“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Katanya, suspek kemudian dihantar ke sebuah hospital berhampiran kerana mengalami pendarahan di kepala selain dipercayai patah kaki dalam kejadian itu.
Siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
Sumber: BH Online