Peragut gigit telinga lelaki didakwa kes rompak beg tangan
Peragut gigit telinga lelaki didakwa kes rompak beg tangan
KOTA BHARU – Seorang buruh yang menggigit telinga suami kepada mangsa dalam kejadian samun minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak sebuah beg tangan wanita.
Tertuduh, Abdul Aziz Abd. Rahman, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja merompak sebuah beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun sehingga menyebabkan ketakutan kepada mangsa.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai, Batu 11, Ketereh di sini kira-kira pukul 5.45 pagi pada 19 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana telah melakukan kesalahan serius.
“Mangsa dan suaminya mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Sekiranya jaminan dibenarkan, perkara ini dikhuatiri menimbulkan kebimbangan kepada orang awam,” katanya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan tarikh 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, tindakan pantas seorang lelaki merempuh motosikal yang ditunggang peragut berjaya menyelamatkan beg isterinya daripada dilarikan suspek dalam kejadian pada minggu lalu, lapor kosmo online
Dalam kejadian itu, Mohd. Hanif Hilmi, 29, cedera di telinga selepas bergelut dengan suspek yang cuba merampas beg milik isterinya ketika wanita yang merupakan seorang pembantu perubatan itu baru turun daripada bas ekspres.