Penyu dipukul di Cherating, tiga suspek dikesan
Penyu dipukul di Cherating, tiga suspek dikesan
KUANTAN – Tindakan kejam tiga individu yang dipercayai memukul seekor penyu agar sehingga cedera di Pantai Pendaratan Penyu, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, mencetuskan kemarahan banyak pihak termasuk Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 27 Julai lalu kira-kira pukul 6.45 petang ketika penyu berkenaan sedang naik ke pantai untuk bertelur.
Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang menerima aduan segera menjalankan siasatan di lokasi dan membuat laporan polis di Balai Polis Cherating.
Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan, kejadian itu jelas satu perbuatan tidak berperikemanusiaan dan mencerminkan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang dilindungi.
“Kami amat kesal dengan perbuatan ini. Penyu adalah spesies dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati mengganggu, menangkap atau memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM500 dan tidak melebihi RM20,000.
Katanya, usaha mengesan dan mengambil tindakan terhadap suspek sedang giat dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Roslan turut menegaskan pemantauan berterusan sedang dijalankan di lokasi pendaratan penyu utama seperti Pulau Tioman, Kuala Rompin, Pantai Cherating dan Tanjung Batu Nenasi di Pekan.
Beliau turut menyeru kerjasama komuniti setempat dan pengusaha pelancongan agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan penyu.
“Kita semua bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian sumber marin negeri ini. Laporkan segera agar penyu-penyu terus selamat dan dapat mendarat di perairan kita,” katanya.
Jabatan Perikanan Negeri Pahang menegaskan komitmen mereka dalam usaha perlindungan penyu serta akan meneruskan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam secara berterusan.-SAHIH