PENYOKONG KEMBALI KE STADIUM 1 APRIL INI
PENYOKONG KEMBALI KE STADIUM 1 APRIL INI
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mengucapkan selamat kembali ke stadium kepada penyokong atau digelar pemain sebagai ke-12 dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Ia susulan pengumuman Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini bahawa kerajaan membenarkan kehadiran penyokong ke stadium dengan kapasiti tertentu bermula bulan depan.
Reezal dalam kenyataan di Facebook miliknya menjelaskan, kebenaran itu berkuatkuasa pada 1 April ini dengan dua perlawanan akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan atau Proof of Concept (POC) untuk menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah mengenal pasti dua lokasi perlawanan untuk proses percubaan iaitu di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 2 April dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 3 April ini.
REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
“Bagi pihak KBS dan seluruh penggiat dan pemain industri sukan tanah air, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan, semua menteri, ahli mesyuarat, pihak MKN, KKM dan juga Perdana Menteri atas kelulusan dan kepercayaan yang diberikan kepada komuniti sukan bagi membenarkan kehadiran penonton bermula secara beransur-ansuran, lapor BH Online.
“Kehadiran penonton secara terkawal, teratur dan dengan jumlah yang tertentu merupakan hasrat dan permintaan pihak penganjur acara kejohanan sukan seperti MFL dan juga penggiat sukan tanah air khususnya peminat sukan bola sepak untuk untuk melihat kehadiran penonton di stadium mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat, hanya 10 peratus dari kapasiti stadium atau 2,000 penonton dibenarkan, dan 25 peratus atau 8,000 orang dibenarkan bagi kawasan PKP Pemulihan.