Penyiar cilik SK Lepar Utara Satu.
Foto atas : Pasukan SEPARATU diberi peranan sebagai ‘penyiar rasmi’ ketika Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Pahang (MSSP) yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Sungai Jan, dekat sini, baru-baru ini.
Penyiar cilik SK Lepar Utara Satu.
PENYIAR cilik dari Sekolah Kebangsaan Lepar Utara Satu (SEPARATU), diberi peranan sebagai ‘penyiar rasmi’ ketika Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Pahang (MSSP) yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Sungai Jan, dekat sini, baru-baru ini.
Seramai lapan orang murid sekolah tersebut telah bertugas sebagai wartawan dan krew penyiaran itu ketika pembukaan rasmi dan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan itu yang diadakan selama 4 hari.
Guru penasihat Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekolah itu, Nurul Afifah Rahim berkata, sekolah tersebut turut mempunyai saluran Youtube sendiri untuk memuatnaik program yang telah dirakam sebagai tatapan umum khususnya penduduk di Felda Lepar Utara Satu dan golongan pendidik.
“Mereka turut dilatih untuk mengendalikan penyiaran dan kewartawanan dengan melakukan kerja-kerja menyunting audio video, menemubual tokoh, penerbitan dan juga ada yang bertindak sebagai krew.
“Krew juga didedahkan cara melakukan penyuntingan, mengambil gambar dan menggunakan aplikasi yang sesuai untuk dimuatnaik ke laman sosial,” katanya.
Katanya, krew SEPARATU yang terdiri daripada murid yang dipilih berperanan sangat baik dan tanpa disedari turut menyokong perkembangan akademik mereka.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Abdul Aziz Awang berkata, Krew TV SEPARATU ini adalah program di bawah kelolaan unit kewartawanan pusat sumber sekolah dan bertindak sebagai petugas penyiaran di peringkat sekolah bagi setiap program yang diadakan.
“Semua murid yang berperanan sebagai wartawan dan krew turut dilatih sebelum menjalankan tugas, malah ada tiga murid sudah boleh membuat suntingan video melalui aplikasi menggunakan telefon pintar.
“Menariknya, ibubapa turut menyokong krew yang dipilih dan ini memberi semangat kepada pihak sekolah untuk terus mengekalkan penyiaran sekolah ,” katanya.
Seorang lagi murid, Nur Zahira Izzati Ahmad Nasiruddin (Tahun 5) berkata, sebelum menemubual orang ramai terutama ketika kejohanan bola baling ini, dia melakukan kerja rumah berkaitan permainan ini, sejarahnya dan sedikit peraturan permainan.
“Sebelum diberi peranan ini, cikgu telah mempersiapkan kami dengan meletakkan sasaran kejohanan ini sebagai tugas pertama di luar kawasan sekolah.
“Gementar pada awalnya, kemudian saya lihat jurulatih, pengurus pasukan yang juga di kalangan guru turut memberi kerjasama yang baik malah memberi peluang kepada saya dengan soalan dan jawapan sebelum ditemubual,” katanya.-SAHIH.