PENYERAHAN JALUR GEMILANG SEMARAKKAN KOMUNITI JENGKA 24
PENYERAHAN JALUR GEMILANG SEMARAKKAN KOMUNITI JENGKA 24
JERANTUT – Suasana meriah menyelubungi Dewan Mat Kilau, Felda Jengka 24 apabila Jalur Gemilang diserahkan kepada komuniti setempat bersempena sambutan bulan kemerdekaan menerusi Program Pertandingan Karaoke Bintang Patriotik Komuniti Madani Daerah Jerantut.
Program anjuran Komuniti Madani Kg. Durian Hijau dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Jerantut itu dirasmikan Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud.
Dalam ucapannya, Razak mengingatkan orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sepanjang bulan kemerdekaan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan pejuang terdahulu.
“Bendera bukan sekadar kain berwarna, sebaliknya lambang maruah negara. Apabila ia berkibar megah, ia membawa semangat perjuangan dan kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Jerantut, Azrul Azham Azmi yang menyatakan pertandingan karaoke berteraskan lagu-lagu patriotik ini menjadi wadah untuk mendidik masyarakat menghayati nilai kemerdekaan dengan lebih mendalam.
Atur cara dimulakan dengan kempen kibar Jalur Gemilang, nyanyian lagu kebangsaan, persembahan karaoke dan penyampaian hadiah. Penyerahan Jalur Gemilang kepada komuniti Felda menjadi detik simbolik penyatuan semangat patriotik di kawasan itu.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pegawai Penerangan Daerah Jerantut, Azrul Azham Azmi sempena Program Pertandingan Karaoke Bintang Patriotik Komuniti Madani di Dewan Mat Kilau, Jengka 24.
Azrul memaklumkan sembilan Komuniti Madani di daerah ini turut mengadakan program sama sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Inisiatif utama adalah Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan konsep ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’.
Selain itu, pertandingan Bintang Patriotik akan menyaksikan juara daripada setiap komuniti berentap di peringkat akhir pada 30 Ogos nanti. Pertandingan ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah meniupkan semangat cinta negara melalui alunan lagu kebangsaan dan patriotik yang dekat di hati rakyat.
Sementara itu seorang peserta, Rosehasbullah Ahmad, 44, berkata acara sebegini menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan masyarakat selain menyemarakkan kecintaan kepada negara.-SAHIH