PENYEBARAN VIDEO LAMA, ISMAIL SABRI BUAT LAPORAN POLIS
PENYEBARAN VIDEO LAMA, ISMAIL SABRI BUAT LAPORAN POLIS
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berhubung penyebaran video lama yang memfitnah beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Azlina Md Rosdy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Azlina berkata, laporan itu bertujuan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas individu menyebarkan dua video lama yang bukan saja cuba merosakkan nama Ismail Sabri malah boleh menimbulkan huru-hara antara kaum, lapor Harian Metro.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Video pendek yang pertama ialah ketika Datuk Seri Ismail Sabri membuat sidang media harian berkaitan Covid-19 pada tahun lalu.
“Video itu diviralkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompaun akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.
“Ia adalah video lama dan kerajaan melakukan pelbagai penambahbaikan dalam pelaksanaan SOP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan.
Selain itu, Azlina berkata, video kedua bertajuk Sendiri Buat SOP Sendiri LanggarSendiri yang viral itu sebenarnya rakaman Ismail Sabri menghadiri majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 16 September tahun lalu.
Katanya, video itu sengaja disebarkan dengan mendakwa beliau menghadiri majlis Sambutan Tahun Baharu Cina.
Azlina berkata, penyebaran video berniat jahat itu boleh menyebabkan timbul kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat.
“Kita mengenalpasti dua akaun Facebook yang memulakan penyebaran video itu dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Beberapa individu lain yang sebarkan video itu juga akan dikenal pasti dan akan dikenakan tindakan.
“Malah, semalam kita juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Terdahulu dua rakaman video memaparkan sidang media Ismail Sabri dan beliau hadir ke satu majlis serta bersalaman dengan tetamu yang hadir viral di Facebook.