Penunggang motosikal warga Indonesia maut dirempuh kereta di KM20 Jalan Jerantut–Padang Piol
Penunggang motosikal warga Indonesia maut dirempuh kereta di KM20 Jalan Jerantut–Padang Piol
JERANTUT – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 20, Jalan Jerantut – Padang Piol , awal pagi tadi.

Motosikal yang ditunggang mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Erlangga, 53, yang bekerja di ladang dan tinggal di Taman Perdana, Jerantut, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Mohd Azahari Mukhtar dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Demak Ego ZR berwarna hijau dengan sebuah kereta Toyota Yaris berwarna putih.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Masjid Padang Piol menuju ke rumahnya, manakala kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun dari Felda Padang Piol menghala ke Bandar Jerantut.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang gelap pada waktu subuh, motosikal berkenaan dipercayai tidak mempunyai lampu, manakala kereta yang bergerak lurus dan searah telah melanggar bahagian belakang motosikal terbabit,” menurut kenyataan itu.
Katanya, akibat perlanggaran berkenaan, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Pemandu kereta, seorang guru tadika, dilaporkan mengalami sakit pada bahagian dada dan perut.
“Keadaan permukaan jalan ketika kejadian adalah kering dan cuaca baik, namun pencahayaan di lokasi dilaporkan gelap,” katanya.
Motosikal mangsa dilaporkan tidak mempunyai cukai jalan dan mangsa juga tidak memiliki lesen memandu. Kereta terbabit pula mempunyai cukai jalan yang sah sehingga 24 Mac 2026.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. -SAHIH.
