PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DILANGGAR LORI DIPERCAYAI MENGUNDUR
PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DILANGGAR LORI DIPERCAYAI MENGUNDUR
DUNGUN: Dua lelaki maut selepas terlibat dalam dua kemalangan berasingan di sini semalam, akibat kecederaan parah yang dialami.
Kedua-duanya meninggal ketika sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.
Penunggang motosikal, Mohd Sofian Nurudin, 52 tahun, maut apabila lori yang membawa pasir dipercayai mengundur, ketika cuba mendaki jalan berbukit di sini, tengah hari semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari di kawasan ladang getah berhampiran Kampung Binjai.
Mangsa yang berasal dari Kampung Tok Gebok, Ajil, Hulu Terengganu, mengalami kecederaan di bahagian kaki dan badan, meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Terdahulu dalam nahas pertama kira-kira jam 12.25 tengah hari di Jalan Kampung Wa, seorang remaja maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah treler.
Mangsa, Muhammad Khairul Amirul Azlan, 19 tahun, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Ketika kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Gen-2, sedang dalam perjalanan dari arah bandar Dungun, menuju Jerangau.
Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler.
Akibat pertembungan tersebut, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan berjaya dibawa keluar oleh anggota pasukan bomba, lapor KOSMO online.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.