Penunggang motosikal jatuh sempat minta tolong sebelum meninggal
Penunggang motosikal jatuh sempat minta tolong sebelum meninggal
Foto atas: Kemalangan motosikal di KM4, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling melibatkan penunggangnya maut. (gambar hiasan)
JERANTUT – Penunggang motosikal berusia 60 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM ) 4 Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Kampung Paya Teh, pada jam 3.45 petang, hari ini.
Mangsa, Salehudin Mohamed dari Kampung Sungai Par dalam perjalanan menghala ke bandar Jerantut, tiba di lokasi dia gagal mengawal kenderaannya dan terbabas sendiri.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan, kejadian berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kuala Tembeling menuju ke Jerantut.
“Menurut saksi kejadian, apabila sampai di lokasi, mangsa telah terjatuh daripada motosikal di sebelah kiri jalan.
“Mangsa masih boleh bangun untuk meminta tolong dengan memaklumkan bahawa tangan kanannya sakit dan dalam keadaan sesak nafas, “ katanya.
Katanya, tidak berapa lama kemudian mangsa tidak sedarkan diri, pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Keadaan jalan berselekoh, satu lorong dua hala dan garisan tengah berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan, keadaan cuaca dan permukaan jalan kering.
“ Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk tujuan bedah siasat. Punca kematian belum diketahui, post-mortem akan dibuat selepas keputusan ujian swab test Covid-19 diperolehi,” katanya.-SAHIH.