Penunggang Motosikal Digilis Bas
Penunggang Motosikal Digilis Bas
IPOH : Seorang penunggang motosikal mati digilis sebuah bas awam dalam kemalangan di Jalan Sultan Nazrin Shah, berhampiran stesen minyak Petronas Kampung Kepayang, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC, dalam perjalanan dari tempat kerja hendak balik ke rumah.
Menurutnya, apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan terlanggar seekor anjing yang sedang melintas jalan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal tercampak di tengah jalan, kemudian datang sebuah bas dari arah yang sama cuba brek dan elak namun terlanggar juga di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Yahaya, akibat dari kemalangan tersebut, mangsa tersepit di bawah tayar kiri hadapan bas dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pihak hospital.
Pemandu bas, seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.