Penternak ikan sangkar rugi diserang memerang.
Penternak ikan sangkar rugi diserang memerang.
JERANTUT : Kira-kira 10 penternak ikan sangkar di sekitar Kampung Lada dan Jerantut Feri, dekat sini diserang memerang dan mengalami kerugian kira-kira RM150,000.
Sangkar ikan dipercayai diserang ratusan memerang yang berada berdekatan Sungai Pahang menceroboh dan merosakkan sangkar ikan jenis ikan patin dan ikan tilapia sebagai sasaran mencari makanan.
Seorang penternak di Kampung Lada, Azman Zainuddin, 54, berkata, sangkar jaring ternakan ikannya ditebuk haiwan itu menyebabkan kira-kira 20,000 ekor ikan terlepas ke sungai selain dimakan haiwan itu.
“Pada minggu ini empat sangkar ikan yang dijadualkan boleh dijual dua bulan lagi kosong kerana semua ikan terlepas ke sungai dan saya kerugian kira-kira RM40,000.
“Jaring sangkar ditebuk dan dirosakkan oleh memerang yang terdiri daripada kira-kira 30 ekor yang menceroboh kawasan ternakan ikan sangkar saya melalui rakaman kamera tertutup (CCTV) yang dipasang di sangkar,” katanya.
Katanya, dia sudah membelanjakan hampir RM35,000 untuk membeli jaring yang tebal dan kuat dan peralatan binaan sangkar baharu yang lebih teguh menggantikan jaring lama yang kebanyakannya sudah berlubang ditebuk memerang.
Seorang lagi penternak ikan sangkar di Kampung Jerantut Feri, Mohd Khairul Anuar Che Mahat (39) berkata, memerang itu datang pada waktu malam ketika tiada orang di sangkar dan menebuk jaring sangkar di bahagian bawah dan atas untuk makan ikan.
“Saya rasa haiwan ini datang dalam jumlah yang banyak berdasarkan tinggalan sisa ikan seperti tulang yang ditinggalkan di atas sepuluh sangkar yang ditebuk. Selebihnya ternakan yang ada di dalam sangkar lepas keluar ke air sungai dan kami mengalami kerugian,” katanya.
“DIharapkan pihak berwajib mengambil tindakan segera menghindarkan ancaman memerang itu, sehingga ini semakin banyak haiwan ini mencari makanan di kawasan sangkar yang terletak di Sungai Pahang berikutan paras air Sungai Pahang naik akibat musim tengkujuh.- SAHIH.