PENTADBIR PERKETAT SOP DI SEKOLAH
PENTADBIR PERKETAT SOP DI SEKOLAH
KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa semua pentadbir sekolah, guru, pelajar dan ibubapa terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) pada peringkat tertinggi untuk menghindari penularan wabak Covid-19 di kalangan warga pendidikan.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, guru, ibu bapa dan pelajar kini semakin resah dengan dengan peningkatan kes Covid-19 melibatkan sekolah di seluruh negara termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Katanya, apa yang berlaku sekarang, pihak pengurusan sekolah hilang arah dan punca apabila peningkatan kes di sekolah, kerana pihak sekolah sudah memantapkan pelbagai prosedur masuk dan keluar sekolah, semasa di sekolah, semasa di dalam bilik darjah malah setiap langkah di dalam sekolah dipantau.
“Rasanya di dalam sekolah sudah ketat dengan SOP yang diarahkan kepada sekolah oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pihak sekolah sedaya upaya dan bersusah payah melaksanakan pematuhan SOP ditetapkan, jika berlaku penularan wabak ini juga, jangan salahkan pihak sekolah sebaliknya cari punca daripada mana datang kes dan pembawa kes tersebut,”katanya.
Beliau juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), berharap pihak sekolah tidak dikenakan kompaun seandai berlaku penular wabak itu di sesebuah sekolah.
“Sepatutnya golongan pembawa gejala yang wajar dikompaun, bukannya pihak sekolah, waris pelajar seharusnya sedar dan peka sekiranya anak masing-masing menunjukkan simptom, jangan hadir ke sekolah sebaliknya dirujuk ke pusat kesihatan dahulu,” katanya.
Beliau merujuk kepada cadangan pihak Polis Pahang untuk mengeluarkan kompaun kepada pihak sekolah di negeri itu yang didapati mengabaikan SOP hingga mencetuskan kluster baharu Covid-19.