PENJUALAN DAN BERMAIN BUNGA API DAN MERCUN AKAN DIAMBIL TINDAKAN TEGAS
PENJUALAN DAN BERMAIN BUNGA API DAN MERCUN AKAN DIAMBIL TINDAKAN TEGAS
TEMERLOH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menyeludup, menjual bahan-bahan bunga api dan mercun termasuk bunga api dan mercun buatan sendiri.
Timbalan Menteri 1, kementerian itu, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kementerian sudah sedia maklum setiap kali menjelang musim perayaan, penjualan secara runcit dan permainan bunga api dan mercun sentiasa berlaku.
“Malah terdapat yang menjual bunga api dan mercun secara diam-diam di pasar malam, pekan sehari termasuk penjualan dan pembelian secara atas talian, ini seolah-olah menggalakkan pembelian daripada orang awam.
“Pihak kami termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi di bawah kementerian ini akan sentiasa memantau bagi mengelakkan situasi huru hara dan mengganggu ketenteraman awam, terutama musim perayaan sambutan hari raya Aidil Fitri yang semakin hampir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pemuliaan dan Pelupusan Al-Quran di Masjid An-Nur di Kuala Krau, hari ini.
Katanya, kepada badan tertentu yang berhasrat mengadakan persembahan bunga api dan mercun seperti sambutan hari kemerdekaan atau perayaan tertentu termasuk sambutan Perisytiharan Bandaraya Kuantan baru-baru ini.
“Permohonan perlu dibuat kepada kementerian ini, penganjur perlu mengikut syarat dan peraturan yang ketat bagi menjamin keselamatan orang awam atau penonton, termasuk jangka masa persembahan dan tempat diadakan persembahan tersebut.
“Kita tidak membenarkan secara sewenang-wenangnya, perlu ada keperluan dan kepatuhan peraturan yang ditetapkan,”katanya.
Sementara itu, Datuk Ismail turut menyampaian bahan dapur kepada 531 keluarga yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda kawasan Parlimen Kuala Krau baru-baru ini.
Katanya, mereka yang ditangkap menjual bahan yang boleh meletup tanpa permit, boleh dipenjarakan selama tujuh tahun dan membayar denda RM10,000 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Mengedar, menjual dan memiliki mercun juga adalah kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhkan hukuman maksima lima tahun penjara atau membayar denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali,“ katanya.