Penjenayah siber sudah mula menggunakan teknologi Kepintaran Buatan (AI) untuk menipu
Penjenayah siber sudah mula menggunakan teknologi Kepintaran Buatan (AI)
TEMERLOH – penipuan jenayah siber atau dipanggil (scammer) di negara ini perlu dibanteras kerana ia memberi impak buruk kepada masyarakat termasuk gejala membunuh diri.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Othman berkata ia menjurus kepada gejala itu disebabkan mangsa penipuan kebiasaannya bakal menghadapi masalah kewangan sehingga membawa kepada situasi kemurungan.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kerugian wang tunai akibat ditipu akan menghadapi tekanan emosi sehingga menjejaskan kualiti hidupnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Anti Financial Crime Centre bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di Dewan Tun Razak di Temerloh, Pahang .
Antara yang hadir pada program sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan Ketua-Ketua Polis Daerah di Pahang.
Mohd Yusri berkata kejadian seperti itu tidak mustahil berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, latar belakang dan usia mereka.
“Ia boleh berlaku kepada pekerja swasta atau kerajaan, golongan biasa atau profesional, warga emas mahupun belia.
“Ia disebabkan modus operandi penipuan siber yang bijak menjerat mangsa dengan berselindung di sebalik pelaburan tidak wujud, love scam dan pembelian dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Sazilee berkata masyarakat perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa bagi mengelakkan ditipu kerana modus operandi jenayah terbabit dilakukan selari dengan kemajuan teknologi terkini.
“Kini penjenayah siber sudah mula menggunakan teknologi Kepintaran Buatan (AI) untuk memanipulasi mangsa.
“Mereka boleh melakukan panggilan video dengan meniru suara dan wajah individu yang dikenali oleh mangsa sehingga percaya untuk membuat penghantaran wang,” katanya.
Ahmad Sazilee berkata antara pencegahan yang boleh diambil orang ramai ialah dengan menelefon kembali atau berjumpa sendiri individu tersebut bagi mengesahkan perkara itu.
“Selain tindakan awal orang ramai, empat agensi di bawah Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sedang berusaha menambah baik sistem bagi menghalang jenayah siberp ini daripada berlaku.-SAHIH