PENJAWAT AWAM RUGI RM26,000
PENJAWAT AWAM RUGI RM26,000
KOTA BHARU: Seorang wanita penjawat awam kerugian RM26,000 selepas terpedaya dengan janji kenalan yang baharu dikenalinya menerusi media sosial.
Lelaki yang dikenali mangsa melalui Instagram itu kononnya menetap di United Kingdom memberi alasan akan datang ke Malaysia atas urusan menuntut harta bapanya bernilai RM3 juta dan meminta mangsa yang juga ibu tunggal menanggung segala perbelanjaannya sepanjang berada di Malaysia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata perkenalan mangsa yang berusia 40-an dengan suspek yang kononnya bekerja di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa bermula pada Ogos tahun lalu.
“Tidak lama selepas berkenalan, suspek menyatakan ingin menjalinkan hubungan yang lebih intim dan mangsa mula membuat bayaran berjumlah RM2,200 ke satu akaun bank tempatan kononnya milik rakan suspek di Malaysia bagi tujuan tempahan sebentuk cincin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed
“Sebulan selepas itu, suspek menyatakan akan datang ke Malaysia atas urusan menuntut harta milik bapanya tetapi meminta mangsa menanggung perbelanjaannya sepanjang berada di negara ini.
“Dalam tempoh sebulan, mangsa sudah pun membuat transaksi pindahan wang ke akaun bank yang sama berjumlah hampir RM10,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Azizul berkata, pada hujung September, mangsa mengepos satu kad pengeluaran juruwang automatik (ATM) miliknya ke satu alamat di Lembah Klang.
“Ia adalah bagi memudahkan suspek membuat pengeluaran wang dan dalam tempoh tiga bulan selepas itu mangsa mendepositkan wang melebihi RM10,000 ke akaun bank miliknya itu bagi tujuan perbelanjaan suspek di Malaysia,” katanya.
Pada awal Januari lalu, mangsa membuat satu lagi deposit RM3,000 ke satu akaun bank tempatan yang berbeza bagi membantu suspek dalam urusannya membuat tuntutan harta bapanya sebanyak RM3.0 juta.
“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, dekat sini, dua hari lalu selepas mengesyaki ditipu,” katanya.
Mangsa juga mendapati ada kemasukan secara berperingkat sejumlah wang lain ke dalam akaun bank miliknya yang diserahkan kepada suspek.