Penjawat awam perlu semai budaya dan nilai integriti yang tinggi
Penjawat awam perlu semai budaya dan nilai integriti yang tinggi
LIPIS – Penjawat awam khususnya di negeri Pahang perlu menyemai budaya dan nilai integriti yang tinggi di sanubari masing-masing semasa menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, keperluan mempunyai nilai integriti yang tinggi dapat menentukan pelaksanaan tugas yang lebih bermutu.
“Kerajaan sentiasa cakna dan prihatin dengan kebajikan penjawat awam dan sentiasa menyokong dasar-dasar yang membantu mengurangkan bebanan penjawat awam.
“Pelbagai inisiatif telah diambil sewajarnya mengikut kemampuan pihak Kerajaan dan sepatutnya dibalas dengan menjalankan tugas dengan baik,” katanya Sekitar Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuala Lipis, semalan.
Turut hadir, Presiden CUEPACS Malaysia, Datuk Adnan Mat, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal dan Kesatuan Sekerja (JHEKS), Mohd Asri Abd Wahab dan Pengerusi CUEPACS Pahang, Maliki Omar.
Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis, mengakui tidak semua perkara dapat diselesaikan serentak, ianya memerlukan perancangan yang teliti, namun komitmen kerajaan sangat konsisten.
“Sesi townhall seperti yang diadakan hari ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk mendengar pandangan serta buah fikiran penjawat awam kerana kekuatan kerajaan adalah ditunjangi oleh perkhidmatan awam yang berkualiti,” katanya.-SAHIH.