PENJARA SEBERANG PERAI SELESAI SARINGAN
Berita Nasional
PENJARA SEBERANG PERAI SELESAI SARINGAN
NIBONG TEBAL: Lebih 300 kakitangan dan kira-kira 700 banduan di Penjara Seberang Perai, Jawi yang ditempatkan di blok baharu penjara itu, selesai menjalani ujian saringan COVID-19 yang pertama, semalam.
Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah, berkata ujian saringan kedua COVID-19 bermula esok dan selepas itu, banduan lama yang tinggal di blok berbeza juga akan disaring, bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak berkenaan.
“Selepas ini, kita juga akan menjalankan ujian saringan ke atas banduan lama yang tinggal di blok berbeza,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam Penjara Seberang Perai merekodkan pertambahan 14 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 86 kes.
Zulkifli berkata, pertambahan 14 kes semalam hanya membabitkan banduan.
“Semua banduan yang disahkan positif sudah diasingkan di blok yang dijadikan wad sementara dan mereka dipantau oleh petugas Kementerian Kesihatan dan dalam keadaan stabil,” katanya.
Zulkifli berkata, barang keperluan seperti bekalan makanan, pelitup muka dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) di penjara terbabit masih mencukupi.
Pulau Pinang merekodkan dua kluster penjara membabitkan Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Jawi dengan jumlah keseluruhan 485 kes.
Kementarian Kesihatan sebelum ini menyatakan COVID-19 di Pulau Pinang mencatatkan jumlah kumulatif 662 kes iaitu 452 kes aktif, 207 kes sembuh dan tiga kes kematian.
Sumber: BH Online