PENJAGA GOL JERANTUT FA KEHILANGAN KAKI
PENJAGA GOL JERANTUT FA KEHILANGAN KAKI
JERANTUT – Tidak menjangka pada pagi Jumaat lalu untuk pergi ke tempat kerja penjaga gol utama Jerantut FA, Muhamad Rodzlan Arbae mengalami kemalangan dengan sebuah motosikal kira-kira jam 7.45 pagi hari itu.
Rodzlan atau lebih mesra dengan panggilan Alan menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 menuju ke tempat kerjanya di Majlis Daerah Jerantut sebelum berlanggar dengan sebuah motosikal berhampiran simpang Taman Ria, di sini.
Katanya, motosikal yang datang dari arah pusat bandar itu telah masuk ke laluan bertentangan dan terus meluru ke arah motosikalnya sehingga menyebabkan kaki kirinya cedera parah.
“Selepas kemalangan itu, saya terkejut melihat bahagian betis sehingga lutut kaki kiri cedera teruk dan saya sudah terbayang kaki ini akan dipotong, jangkaan saya benar, sebaik tiba di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, kaki kiri terpaksa dipotong kerana berlaku banyak pendarahan,” katanya.
“Saya tidak menyangka akan kehilangan kaki yang selama ini digunakan untuk beraksi di atas padang namun redha dengan takdir Allah,“ katanya.
Katanya, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat yang tampil memberi kata-kata semangat untuk dia meneruskan hidup selepas ini serta sumbangan kewangan.
Pemain berusia 34 tahun dan bapa kepada 4 orang anak itu memberitahu beliau akan merindu dunia bola sepak yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada asam garam hidupnya.
“Setakat ini sahaja sumbangan dan khidmat saya untuk pasukan Jerantut dan berharap penggantinya nanti akan beraksi lebih cemerlang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, satu tabung sumbangan telah digerakkan untuk membantu Alan terutama untuk tujuan rawatan.
Nama Alan mula menjadi sebutan peminat bola sepak di daerah ini apabila mempamerkan aksi hebat ketika pasukannya menentang Perak dalam saingan Piala FA dua tahun lalu.
Biarpun gagal membantu pasukannya layak ke peringkat seterusnya namun kecekapan Alan mengawal gawangnya memaksa pasukan Perak bermandi peluh untuk mendapatkan jaringan malah penjaga gol bertubuh kecil itu turut menerima anugerah pada perlawanan tersebut.
Katanya, dia sudah dimaklumkan harga kaki palsu untuk digunakan agak mahal sehingga mencecah RM40,000, dia memerlukan sumbangan untuk mendapatkan kaki palsu itu.
Oleh itu, beliau memerlukan sumbangan untuk mendapatkan kaki palsu. Kepada yang sudi memberi sumbangan salurkan kepada Muhamad Rodzlan Arbae, nombor akaun 156208224763 (Maybank).