PENIAGA TEMBAK KERETA BEKAS ISTERI DIREMAN
PENIAGA TEMBAK KERETA BEKAS ISTERI DIREMAN
KOTA BHARU – Seorang peniaga direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan bunuh bekas isteri bersama tiga anaknya dengan menembak kereta yang dinaiki mereka di Lorong Bayam Pinggir, Tapang di sini kelmarin.
Perintah reman sehingga Khamis ini terhadap suspek yang berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu, Nuriza Mustafa bilik reman Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi memboleh pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan untuk membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi anggota polis.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, gara-gara cemburu kerana bekas isterinya sudah berkahwin lain, seorang peniaga sanggup menembak kenderaan yang dinaiki wanita itu bersama tiga anak mereka kelmarin, lapor HM online.
Tembakan yang dilepaskan suspek itu bagaimanapun terkena pada cermin sisi belakang kanan kereta mangsa jenis Kia Rio.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dan tiga anaknya berusia 3, 5 dan 13 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.