PENIAGA TAWAR DURIAN PERCUMA JIKA TIDAK MAMPU BELI
PENIAGA TAWAR DURIAN PERCUMA JIKA TIDAK MAMPU BELI
KUANTAN: “Jika ada yang teringin nak makan durian tapi tidak mampu, datang dan bagi tahu saya, saya ikhlas sedekahkan sebiji dua untuk mereka,” demikian kata peniaga durian, Azizon Awang ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau yang sudah berniaga raja buah itu kira-kira 10 tahun lalu, mengakui wabak COVID-19 sangat memberi kesan kepada ramai orang, termasuk peniaga kecil-kecilan sepertinya.
Azizon Awang-peniaga Durian
“Sekurang-kurangnya saya masih ada sedikit modal untuk meneruskan perniagaan ini. Saya tahu ramai yang kehilangan sumber pendapatan, kehilangan kerja dan berdepan tekanan dari segi kewangan sejak penyakit ini (COVID-19) dikesan.
“Tidak mengapalah, kalau ada yang memang tidak mampu dan rasa nak makan durian, datang jumpa saya, saya sedekah untuk mereka,” katanya.
Azizon yang berusia 45 tahun, kini membuka gerai durian di tepi laluan utama Jalan Tanjung Lumpur-Kempadang, dekat sini.
Beliau dibantu rakannya dan memulakan perniagaan pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap hari.
Ketika ditanya mengenai bekalan durian diperolehnya, Azizon berkata, semua durian itu dihantar oleh pembekal dari Segamat, Johor.
“Saya sudah lama berurusan dengan dia (pembekal), sebelum ini saya berniaga di perkarangan Serambi Teruntum sebelum berpindah ke sini.
“Bekalan durian biasanya sampai sekitar pukul 2 petang, jadi saya mula menjual pukul 3 petang dan boleh dikatakan sebelum pukul 7 petang, semuanya sudah habis,” katanya.
Antara jenis durian dijual beliau ialah Musang King, Udang Merah, IOI dan durian kampung.
Selain itu, durian yang sesuai dijadikan tempoyak juga turut dijual di gerai miliknya pada harga yang sangat berpatutan, bermula RM6 sekilogram.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Azri Zainal berkata, usaha dilakukan Azizon dengan menawarkan durian percuma kepada mereka yang tidak mampu, patut mendapat pujian dan dicontohi peniaga lain.
Azri Zainal- Pelanggan
“Memang kita tidak boleh nafikan ramai yang terkesan sejak COVID-19, jadi apabila ada peniaga seperti beliau yang sungguh bertimbang rasa, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang tidak mampu membeli, tetap boleh menikmati durian.
“Harga ditawarkan juga sangat berpatutan dan saya harap beliau terus berjaya dan boleh berniaga setiap kali musim durian,” katanya.-SAHIH