PENIAGA RAYU PELANGGAN BOLEH MAKAN DI KEDAI
PENIAGA RAYU PELANGGAN BOLEH MAKAN DI KEDAI
KUALA BERANG: Peniaga restoran, kedai makan dan kenderan saji merayu agar kerajaan memberi pertimbangan untuk membenarkan pelanggan makan di premis.
Rayuan sama disuarakan pengusaha kedai pakaian dan butik kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang terkesan teruk susulan penularan pandemik COVID-19 di negara ini sejak Mac tahun lalu yang memerlukan negara diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, berkata jika pelanggan dibenarkan makan di restoran, ia bukan sahaja memanfaatkan pengusaha kedai makan tetapi secara tidak langsung dapat menyelamatkan pekerja lain yang berkaitan.
Katanya, mereka termasuk pencuci pinggan, pelayan dan pembantu kedai makan serta rantaiannya seperti pembekal barangan dan makanan.
“Begitu juga dengan kedai pakaian dan butik. Ramai pengusaha berdepan situasi gulung tikar disebabkan tidak dibenarkan beroperasi, sedangkan musim perayaan seperti sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri adalah masa terbaik untuk pengusaha kedai pakaian dan butik menjana pendapatan.
DATUK ROSOL WAHID
“Golongan peniaga ini sanggup mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun ketat asalkan dibenar beroperasi,” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi kedai runcit bergerak Prihatin Mall Mart di Dataran Kampung Langgar, di sini, hari ini.
Rosol berkata, perkara itu perlu dikaji semula dan pihak KPDNHEP akan menemui Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyuarakan rintihan golongan peniaga terbabit dalam masa terdekat.
Katanya, pihaknya sedar kerajaan perlu menjaga kepentingan menangani COVID-19 dan pada masa sama memastikan ekonomi negara terus stabil.
GAMBAR HIASAN
Berikutan itu, katanya, beliau yakin kerajaan akan memberi pertimbangan terbaik.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran makanan beroperasi sehingga jam 10 malam bermula 22 Januari lalu.
Bagaimanapun aktiviti makan di kedai masih tidak dibenarkan dan hanya pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu sahaja yang dibenarkan.