Peniaga Murtabak Hampir Rugi RM400, Transaksi Tidak Berlaku
Peniaga Murtabak Hampir Rugi RM400, Transaksi Tidak Berlaku
JERANTUT – Seorang peniaga murtabak di Bazar Ramadan Jerantut hampir mengalami kerugian RM400 apabila transaksi pembayaran melalui imbasan kod QR tidak berlaku seperti yang disangka.
Amizan Jorit, 49, berkata seorang lelaki bersama isterinya telah membuat tempahan 50 keping murtabak sejurus gerainya dibuka sekitar jam 3.00 petang pada hari pertama Ramadan.
“Lelaki itu datang semula kira-kira jam 7.00 petang untuk mengambil tempahan dan melakukan ‘pembayaran’ dengan mengimbas kod QR.
“Oleh kerana saya dan isteri sibuk melayan pelanggan lain, kami tidak menyemak transaksi dan menganggap bayaran sudah diterima,” katanya ketika dihubungi.
Menurut isterinya, Nurul Shahirah Abdullah, 43, mereka hanya menyedari kejadian itu selepas berbuka puasa apabila menyemak akaun bank dan mendapati tiada transaksi diterima.
“Keesokan harinya, suami saya pergi ke bank untuk kepastian, dan memang sah bayaran tidak masuk,” katanya.
Seorang pekerja mereka yang bertanggungjawab dalam urusan pembayaran berasa amat bersalah dan berkongsi kejadian itu di laman Facebook ‘Jerantut Viral’ kerana bimbang majikannya mengalami kerugian.
“Saya memberitahu pekerja itu supaya tidak risau. Jika ada rezeki, Insya-Allah, duit itu akan kembali,” kata Nurul.
Mujurlah, selepas berita tersebut tular, pelanggan berkenaan menyedari kesilapan dan segera membuat pembayaran pada jam 7.00 petang keesokan harinya.
“Alhamdulillah, kalau sudah rezeki, ia tidak akan ke mana. Pelanggan itu juga terkejut dan sedih selepas membaca hantaran tersebut kerana murtabak itu telah diberi kepada orang lain.
“Dia juga memohon maaf dan berjanji akan kembali untuk membuat tempahan lagi,” katanya.-SAHIH