Peniaga Kosmetik Dalam Talian Disiasat Atas Kesalahan Jualan Produk Tidak Bernotifikasi
Peniaga Kosmetik Dalam Talian Disiasat Atas Kesalahan Jualan Produk Tidak Bernotifikasi
KUANTAN – Seorang peniaga kosmetik dalam talian menjadi suspek utama dalam siasatan pihak berkuasa selepas didapati aktif menjual produk tanpa notifikasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang (Kesihatan awam ), Datuk Dr Wan Abdul Wan Muhammad berkata, penjualan kosmetik tanpa kelulusan melanggar Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Hukuman bagi kesalahan ini termasuk denda maksimum RM25,000 atau penjara hingga tiga tahun bagi individu, dan denda sehingga RM50,000 untuk syarikat.
“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,”
Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi kosmetik melalui laman web NPRA atau aplikasi NPRA Product Status sebelum membeli. Sebarang maklumat mengenai penjualan kosmetik atau ubat-ubatan mencurigakan boleh disalurkan melalui platform SOBAT.
Sebagai langkah membanteras penjualan produk tidak sah, KKM turut melancarkan kempen “TOLAK UBAT TIDAK SAH” (TOBATS) bagi meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan tindakan bersama memerangi aktiviti haram ini.-SAHIH