PENIAGA JUAL AYAM MURAH BANTU PENDUDUK TERJEJAS, HILANG SUMBER PENDAPATAN
PENIAGA JUAL AYAM MURAH BANTU PENDUDUK TERJEJAS, HILANG SUMBER PENDAPATAN
KUANTAN: Tidak dapat dinafikan tekanan dihadapi kebanyakan penduduk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sahaja menjejaskan pendapatan, bahkan ada yang kehilangan kerja.
Menyedari bebanan ditanggung penduduk ketika ini, seorang peniaga kedai runcit, Abd Latif Abdul Wahab, 50 tahun, mengambil inisiatif dengan menawarkan ayam proses pada harga paling murah berbanding harga pasaran ketika ini.
Beliau yang sudah berniaga sejak kira-kira 30 tahun berkata, sebanyak 150 ekor ayam proses disediakan kepada pelanggan dengan harga RM5.50 sekilogram.
Latif Abdul Wahab-Peniaga runcit
“Harga ini adalah paling rendah berbanding kebiasaannya dijual pada harga RM7.50 hingga RM9.50 sekilogram di pasaran.
“Idea ini tercetus selepas menyedari kesan (pandemik) COVID-19 terhadap orang ramai. Ada yang hilang kerja, ada yang terputus sumber pendapatan, jadi, saya harap inisiatif ini dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui di kedai runcit miliknya dekat Jalan Tanjung Pasir-Bukit Goh, di sini, pagi tadi.
Abd Latif berkata, bekalan ayam proses itu diperoleh daripada pembekal di Jabor, dekat Kemaman, Terengganu dan beliau menawarkan harga murah itu kepada pelanggannya selama tiga hari, bermula hari ini.
“Untuk hari ini, sebanyak 150 ekor terjual dalam masa kira-kira tiga jam dan bagi mereka yang tidak sempat mendapatkan ayam pagi tadi, mereka boleh datang ke kedai saya pagi esok dan lusa,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nor Farini Mahad ketika ditemui memuji usaha dilakukan peniaga seperti Abd Latif dan mengakui ia sangat membantu orang ramai yang terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
“Saya rasa memang patuhlah ada peniaga sudi menjual harga macam ini… sebagai contoh, saya sendiri pun anak lima orang, jadi kita punya keperluan itu agak tinggilah ditambah pula musim macam ini,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Yasser Mohamed berkata, usaha dilakukan Abd Latif itu sangat tepat pada masanya dan wajar dicontohi peniaga lain.
“Kita memuji peniaga seperti beliau kerana sanggup memberi harga serendah ini kepada pengguna, apatah lagi ketika rakyat sedang diuji dengan masalah ekonomi, jadi apabila ada peniaga sanggup meletakkan harga serendah ini, kami semua sangat gembira dan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan orang ramai,” katanya.-SAHIH