Peniaga di luar bandar turut tidak terlepas pandang KPDNHEP
Peniaga di luar bandar turut tidak terlepas pandang KPDNHEP
RAUB – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi peringatan kepada peniaga di kawasan luar bandar agar sentiasa mematuhi etika perniagaan dan menentukan harga barangan sentiasa dikawal.
Pemeriksaan mengejut bukan sahaja dilakukan di kawasan bandar malah turut diperluaskan ke kawasan luar bandar yang melibatkan pelbagai jenis premis perniagaan.
Pada tahun 2019, sebanyak 12,221 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 1,554 premis (13%) diperiksa adalah di kawasan luar bandar.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, pada tahun 2020 pula, sebanyak 692,906 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 136,922 premis (20%) terletak di luar bandar.
“Pada tahun 2021 pula sebanyak 865,086 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu 148,430 (17%) premis berada di kawasan luar bandar,” katanya.
“Pada tahun ini sehingga 28 Januari 2022, sebanyak 80,465 pemeriksaan telah direkodkan di seluruh negara dan daripada itu, sebanyak 12,834 premis (19%) adalah di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pemeriksaan dan pemantauan khas di kawasan Ulu Sungai dan kawasan Cheroh di daerah Raub, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan didapati tahap pematuhan oleh peniaga adalah sangat baik, kedudukan bekalan barangan dan keperluan harian juga didapati stabil dan mencukupi bagi menghadapi perayaan Tahun Baru Cina minggu ini.
“KPDNHEP tidak mengabaikan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan luar bandar meskipun jumlah masyarakat dan bilangan premis di kawasan tersebut tidak banyak berbanding di kawasan bandar.
“Pihak kami (KPDNHEP) menyedari kawasan luar bandar juga perlu diberikan keutamaan di dalam melakukan pemantauan terutamanya bagi memastikan masyarakat luar bandar juga dapat menikmati bekalan keperluan asas dan sebagainya pada harga yang munasabah dan mudah diperolehi.
Tambahnya, jarak perjalanan yang jauh, keadaan geografi dan akses untuk memasuki kawasan luar bandar tertentu yang sukar antara faktor yang menyebabkan bekalan keperluan asas di kawasan luar bandar ini kadangkala mengalami gangguan dan sebagainya.
“Penguatkuasaan dan pemantauan berterusan di kawasan luar bandar ini juga amat penting bagi memastikan peniaga di kawasan luar bandar turut mematuhi semua perundangan yang telah dikuatkuasakan oleh pihak kementerian.
“Ini termasuklah berkaitan harga, tanda harga, alat timbang dan sukat juga barang kawalan dan subsidi selain memastikan penyelewengan barang kawalan dan subsidi juga tidak berlaku di kawasan luar bandar ini,” katanya.
Beliau menggalakkan masyarakat di luar bandar untuk menyalurkan maklumat dan membuat aduan sekiranya berlaku gangguan bekalan keperluan asas dan menjalankan aktiviti tidak beretika perniagaan mereka di kawasan masing-masing.
Pengguna boleh menyalurkan maklumat berhubung salah laku oleh peniaga kepada pihak KPDNHEP melalui saluran berikut: Whats App 019-279 4317; Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), 03-8882 6088/6245.-SAHIH.