Peniaga bukan Islam hayati Keluarga Malaysia
Foto atas: Hamidi Mat Tap (tengah) bersama-sama rakan memunggah pelbagai sayur-sayuran untuk diagihkan kepada penduduk.
Peniaga bukan Islam hayati Keluarga Malaysia
BATU PAHAT – Seorang peniaga menghayati aspirasi Keluarga Malaysia apabila mendorong beliau untuk membantu meringankan bebanan keluarga Islam menjalani ibadat puasa apabila mengagihkan secara percuma 100 bakul pelbagai jenis sayur-sayuran, semalam.
Beliau yang menjalankan perniagaan di bandar itu tidak berasa janggal atau terbeban dengan sikap pemurah tanpa mengira bangsa dan agama demi rasa keprihatinan membantu sesama masyarakat berbilang kaum demi cintakan kehidupan harmoni.
Bakul sayur itu disalurkan kepada Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Batu Pahat membabitkan komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Senggarang dan Rengit serta kawasan Parlimen berhampiran pada minggu lalu.
Pengerusi biro berkenaan, Hamidi Mat Tap, berkata bersikap terbuka dan ingin berkongsi hasil jualan itu peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Kim sudah mula menunjukkan sikap ingin membantu selepas negara mula dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.
Menurutnya, apabila mengetahui biro berkenaan mencari sumbangan dana atau barangan keperluan asas untuk membantu penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau dikuarantinkan selepas dijangkiti Covid-19 beliau ke depan menghulurkan sayur-sayuran untuk diagihkan.
Jelasnya, kemurahan hati peniaga itu berterusan hinggalah pada Ramadan sekarang selain memberi peluang kepada kami memilih apa sahaja pelbagai sayur-sayuran bersesuai untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti dalam kalangan keluarga miskin dan asnaf.
“Dengan 100 bakul sayur-sayuran ini saya memohon bantuan rakan-rakan sahabat termasuk mereka daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti khusus keluarga penduduk beragama Islam untuk menerima bekalan sayur-sayuran itu.
“Saya agihkan sama rata kepada semua mereka yang berkenaan supaya dapat menikmati sayur-sayuran percuma ini sebagaimana disarankan oleh peniaga itu termasuk dalam kalangan keluarga pendudukan bukan Islam,” katanya. -SAHIH.