Pengusaha restoran dapat rezeki besar ikan kelah seberat 10 kilogram
Pengurus restoran dapat rezeki besar ikan kelah seberat 10 kilogram
LIPIS : Pengusaha restoran masakan tradisional Pahang, House of Patin di Kuala Lumpur, mendapat “ang pow” ikan Kelah atau nama saintifiknya, Tor putitora yang dibeli daripada seorang nelayan Sungai Jelai di Kuala Medang, Jelai dekat sini hari ini.
Pengurus itu, Ahmad Daniar Ismail, 44, berkata, ketika pulang bercuti di Kampung Kuala Medang hasratnya untuk memperoleh ikan liar Sungai Jelai seperti ikan patin, ikan kerai, ikan baung dan spesies lain untuk dibawa pulang bagi menyediakan masakan berasaskan campuran tempoyak dan stimbot untuk pelanggan yang mengunjungi restoran miliknya.
“Tidak sangka rezeki pagi ini, apabila seorang nelayan Sungai Jelai yang juga rakan sekampung datang menawarkan ikan kelah yang ditangkap menggunakan jaring yang dipasang petang semalam.
“Ikan ini seberat 10 kilogram dan tanpa ragu-ragu lagi saya terus membayar harga spesies bermutu tinggi dengan nilai RM2,500 berasaskan harga RM250 sekilogram,” katanya di Kampung Kuala Medang dekat sini hari ini.
Katanya, dia turut memborong ikan patin, ikan kerai, ikan baung dan ikan lawang, iaitu spesies di habitat Sungai Jelai berdekatan kampung tersebut dengan nelayan sungai berkenaan dengan kesemua perbelanjaan bernilai RM3,500.
“Saya tidak pernah membeli ikan kelah seberat ini, selalunya saya hanya dapat ikan seperti ini cuma seberat kurang daripada lima kilogram, tetapi kali ini bernasib baik, rezeki saya balik kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina
“Petang ini, saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk memasak ikan kelah dan ikan lain yang telah diborong ini untuk sajian kepada pelanggan yang datang ke restoran saya sempena cuti Tahun Baharu Cina khususnya rakan kenalan dari kaum Cina,” katanya.
Dia yang berasal dari Kampung Kuala Medang berkata, kebiasaan ikan Kelah itu dicampur masakan ayam tempoyak dan boleh juga disediakan stimbot yang menjadi kegemaran masyarakat bandar Kuala Lumpur termasuk kebanyakan kalangan menteri dan pentadbir kerajaan yang singgah makan di restorannya.
Katanya, oleh kerana permintaan ramai pelanggan dengan sajian berasaskan ikan liar Sungai Jelai, dia setiap minggu berulang alik ke Kuala Medang untuk mendapatkan bekalan ikan berkenaan atau kadang-kadang rakannya menghantar ke ibu kota.
“Saya sanggup membeli seberapa banyak spesies liar ikan kelah, patin, kerai dan lain-lain kerana untuk memenuhi permintaan ramai pelanggan selain menjaga imej restoran ini sebagai pusat sajian makanan tradisional Pahang di ibu kota,” katanya.-SAHIH.