PENGUSAHA INDUSTRI PELANCONGAN HARAP KERAJAAN BUKA TAMAN NEGARA, KUALA TAHAN SEGERA
PENGUSAHA INDUSTRI PELANCONGAN HARAP KERAJAAN BUKA TAMAN NEGARA, KUALA TAHAN SEGERA
JERANTUT : Pengusaha industri pelancongan di Taman Negara, Kuala Tahan mahukan ‘gelembung pelancongan’ yang dilaksanakan ke Pulau Langkawi dapat diperluaskan ke kawasan hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun itu.
Pengusaha pelancongan di situ mahukan pengunjung ke pusat peranginan tersebut dibuka semula sekurang-kurangnya dapat memulihkan pendapatan sebelum musim tengkujuh yang bakal berlaku pada penghujung tahun ini.

Mereka berharap Kerajaan Persekutuan membuka semula Taman Negara khususnya bagi kemudahan melawat dan berekreasi di kawasan itu seperti sebelum ini antara daya tarikan pelawat domestik dan pelancong antarabangsa.
Kira-kira 300 orang penggiat dan pengusaha yang sudah menerima suntikan vaksin yang lengkap dan berharap kerajaan segera membuka semula dan membenarkan kemasukan pengunjung ke situ seperti yang dijalankan kepada kemasukan pelancong ke pulau lagenda itu mulai minggu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, penggiat dan pengusaha di situ berharap kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan membuka semula Taman Negara untuk pengunjung domestik selari dengan kebenaran rentas daerah malahan penduduk di situ sudahpun mencapai imuniti kelompok.

“Harapan kami supaya kerajaan membuka taman ini memandangkan cuma sebulan sahaja lagi aktiviti ekopelancongan boleh beroperasi sebelum musim tengkujuh pada penghujung bulan Oktober hingga akhir tahun ini.
“Penduduk tempatan yang bergiat aktif di sektor ekopelancongan sebelum ini terjejas teruk setelah pelaksanaan Peraturan Kawalan pergerakan (PKP) bersilih ganti PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Pemulihan (PKPP) sejak tahun lalu sangat berharap aktiviti pelancongan dihidupkan semula dengan kebenaran melawat kemudahan di hutan tropika Taman Negara,” katanya.
Katanya, JKKK dan persatuan pengusaha pelancongan di situ telah bersedia menerima pengunjung serta akan akur dan patuh dengan peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi keselamatan dan keselesaan pelawat ketika berkunjung ke sini dalam tempoh penguatkuasaan PKP.
Pengusaha pusat inap Greenland Guesthouse, Afzal Abd. Aziz berkata, dia juga menaruh harapan supaya gelombang pelancongan yang laksanakan oleh kerajaan diperluaskan kesemua pusat pelancongan di Pahang bukan hanya memfokuskan sebuah tempat sahaja.

“Penggiat dan pengusaha di sini sudah menjadikan aktiviti pelancongan Taman Negara sebagai punca rezeki dan sewajarnya taman ini dibuka untuk kami memperoleh pendapatan dalam tempoh sebelum musim tengkujuh.
“Saya yakin sekiranya taman ini dibuka sudah tentu ramai pengunjung domestik dari daerah lain di negeri ini yang sudah melengkapi suntikan vaksin akan datang memenuhi pusat inap di sini di samping menyertai aktiviti rekreasi dan riadah seperti tahun-tahun sebelum ancaman pandemik Covid-19,” katanya.-SAHIH.