PENGUSAHA IKAN SANGKAR DI TEMERLOH BAKAL MENGALAMI KERUGIAN
PENGUSAHA IKAN SANGKAR DI TEMERLOH BAKAL MENGALAMI KERUGIAN
TEMERLOH: Perusahaan ternakan ikan sangkar Sungai Semantan, Sungai Pahang di Temerloh terjejas dan bakal mengalami kerugian yang besar disebabkan ikan Patin mereka tidak dapat dipasarkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) yang sedang dilaksanakan sekarang.
Pasaran ikan sangkar di sungai itu terencat kerana berlaku pelbagai sekatan yang dilaksanakan menyebabkan permintaan terhadap ikan sungai terutama jenis patin yang menjadi kebanggaan daerah Temerloh itu merudum.
Ini termasuk kedai makan yang menjual gulai patin tempoyak mengurangkan kuantiti jualan mereka kerana kekurangan pelanggan terutama pelanggan dari luar daerah atau negeri ini termasuk masa operasi kedai makan yang disingkatkan.
Pengusaha ikan sangkar juga turut terjejas kerana kesukaran untuk menghantar ikan ke luar daerah atau Pahang kerana tiada kebenaran merentas sempadan.
Seorang pengusaha , Mohamad Fikri Abdul Rahman, 30, dari Kampung Paya Kecil, di sini, berkata, dia bimbang akan berlaku lambakan ikan-ikan sangkarnya kerana tidak dapat dipasarkan.
Mohamad Fikri Abdul Rahman - Pengusaha Patin Sangkar
“Pengeluaran yang bakal dipasarkan mengikut jadual kali ini dianggarkan seberat lebih 10 tan, jika tidak dijual dengan segera, saiz ikan yang semakin membesar, seterusnya menanggung kerugian kerana perlu terus memberikan makan.
“Masa PKP 1.0 dulu kita juga mengalami masalah seperti ini, tetapi tidak seteruk kali ini. Kebetulan PKP 3.0 ini saiz ikan dan berat yang sesuai untuk dijual tetapi kami tidak dapat menjualnya seperti biasa,” katanya.
Beliau yang kini hanya bergantung kepada pelanggan tempatan dengan menggunakan kaedah penghantaran ke rumah (COD) dan turut menghantar ikan ke pasar.
Namun, sebelum ini kira-kira 100 kilogram (kg) ikan boleh dijual sehari, sekarang 10 kg ikan sukar untuk dipasarkan, selain itu harga makanan ikan turut meningkat.
Bagi Norzainal Faridan Zainal Abidin, 30, dia berharap pihak berwajib dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi pengusaha ikan sangkar di sungai Semantan dan sungai Pahang.
Norzainal Faridan Zainal Abidin - Pengusaha Patin Sangkar
“Saya berharap dapat dipermudahkan terutama prosedur untuk menghantar ikan-ikan ke negeri-negeri lain seperti sebelum ini.
“Walaupun mungkin tidak dalam menjual dalam kuantiti banyak, tetapi sekurang-kurangnya ikan-ikan yang ada ini dapat dipasarkan ke tempat lain,” katanya.-SAHIH.