PENGUSAHA IKAN DIKHUATIRI LEMAS DEKAT SANGKAR IKANNYA
PENGUSAHA IKAN DIKHUATIRI LEMAS DEKAT SANGKAR IKANNYA
JERANTUT: Seorang pengusaha ikan sangkar dikhuatiri lemas berdekatan sangkar ikannya di Kampung Lada, dekat sini, kira-kira pada jam 12.00 tengah malam, malam tadi.
Mangsa, Ariff Helmi Saharudin, 26 tahun, dipercayai terjatuh ketika memberi makan ikan di sangkarnya itu.
Sahabatnya, Fauzi Dollah, 46 tahun berkata, selepas mereka berdua mengambil ikan di sangkar pada jam kira-kira 11.00 malam, dia terus naik ke kenderaan yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan kejadian dengan membawa ikan yang ditangkap.
“Ariff menyuruh saya naik dahulu kerana mangsa mahu memberi ikan makan sebentar, saya masih nampak lagi lampu cahaya suluh yang digunakan mangsa walau pun berada dekat dengan kenderaan.
“Oleh kerana agak lama kira-kira lima minit , saya melihat semula ke arah sangkar dan cahaya lampu suluh digunakan tiada lagi, saya terus turun semula untuk melihat dan kelibatnya tidak kelihatan, saya mencari sekitar tempat mangsa yang saya lihat kali terakhir,”katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, dia terus ke jalan utama untuk mencari bantuan, kebetulan ada ramai orang berdekatan surau.
“Saya dan beberapa orang lain terus turun ke tebing tempat kejadian untuk mencari mangsa,” katanya.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 3.15 pagi tadi berkaitan dengan kejadian tersebut.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 8.00 pagi ini dengan melibatkan pelbagai jabatan termasuk pihak penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).