PENGUSAHA BURUNG WALIT PERLU DAFTAR SEGERA
PENGUSAHA BURUNG WALIT PERLU DAFTAR SEGERA
JERANTUT: Pengarah Jabatan Perkhidmantan Veterinar Pahang, Dr Kamaliah Ghazali meminta pengusaha sarang burung walit mempercepatkan proses pendaftaran bagi membolehkan hasil pengeluaran mereka mempunyai daya jejak untuk meningkatkan kualiti keselamatan makanan dan kepercayaan produk dihasilkan.
Beliau berkata, sehingga tahun lalu hanya 1,647 pengusaha mendaftarkan premis sarang burung walit diusahakan mereka dengan Jabatan Veterinar negeri.
“Bagi pengusaha yang belum mendaftar, segeralah berbuat demikian kerana ia (proses pendaftaran) adalah percuma.
“Produk dihasilkan sarang burung ini adalah termasuk dalam kategori makanan, jadi amat penting untuk produk itu mempunyai daya jejak untuk memastikan tahap keselamatan produk dapat dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kursus peningkatan produktiviti dan pemantapan Good Animal Husbandry Practices (GAHP) di Dewan Besar Majlis Daerah Jerantut, semalam.
Kursus dianjurkan Pejabat Veterinar Daerah Jerantut dengan kerjasama Persatuan Pedagang Sarang Burung Negeri Pahang itu menarik penyertaan 200 pengusaha sarang burung walit di negeri ini.
Turut hadir Ketua Bahagian Pembangunan Industri Penternakan, Dr Hamdan Muhamed Hadi; pegawai perkhidmatan veterinar Pejabat Veterinar Daerah Jerantut, Syarifah Faizah Syed Saidin dan pegawai veterinary seksyen pensijilan veterina, bahagian regulatori DVS Malaysia , Dr Zurina Ramli.
Kamaliah turut berkata, harga jualan sarang burung walit merosot sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada masalah kegagalan menjejaki produk hingga mengakibatkan krisis keyakinan pengguna terhadap produk dihasilkan sarang burung walit.
“Kita perlu mendapatkan keyakinan daripada negara pengimport dan jika kita tidak dapat memberi jaminan keselamatan terhadap produk dihasilkan, ia akan memdatangkan masalah.
“Jika produk kita mempunyai pensijilan myGAP sebagai contoh, ia membuka ruang lebih mudah untuk memperoleh satu lagi sijil iaitu Veterinary Health Mark (VHM) yang akan meningkatkan keyakinan pengguna dan pengimport,” katanya.
Katanya, sijil VHM adalah wajib dimiliki sebelum dibenarkan mengeksport produk sarang burung walit siap diproses, dan bahan mentah dari rumah burung walit yang ada pensijilan myGAP adalah kriteria untuk melayakkan pengusaha mendapat lesen VHM.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Sarang Burung negeri, Datuk Ko Ah Kuan berkata, keselamatan dari segi pemakanan adalah penting dan status sarang burung walit sebagai produk bertaraf antarabangsa memerlukan skala pengawalan kualiti yang ketat.
“Kursus ini mendapat sambutan begitu menggalakkan, peserta boleh mendapat infomasi yang lengkap menjadi seorang pengusaha yang bertanggungjawab dan mempunyai kebolehan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.-SAHIH