PENGUSAHA BAS GULUNG TIKAR
PENGUSAHA BAS BERISIKO GULUNG TIKAR
KUALA LUMPUR: Pengusaha bas sekolah berdepan risiko gulung berikutan ada ibu bapa yang enggan membayar penuh tambang bulanan perkhidmatan itu,
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata pengusaha terpaksa menanggung kos operasi setiap bulan walaupun ketika cuti persekolahan.
“Bas sekolah ada kos operasi tetap setiap bulan yang perlu ditanggung walaupun ketika cuti sekolah dan jika kos operasi tetap ini tidak dapat ditanggung, berkemungkinan syarikat bas sekolah berkenaan terpaksa menghentikan operasi.
“Anda (ibu bapa) mungkin menghadapi cabaran untuk mendapatkan perkhidmatan bas sekolah pada sesi persekolahan tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Memetik laporan BH Online, Amali berkata, pengusaha bas sekolah biasanya memperoleh pendapatan untuk 11 bulan, manakala kos operasi yang perlu ditanggung adalah setiap bulan selama setahun.
Bagaimanapun, susulan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengusaha hanya memperoleh bayaran tambang untuk Januari, Februari, Mac, Julai, Ogos dan September.
“Walaupun begitu, masih ramai yang tidak mahu membayar penuh tambang untuk Mac dan Julai, malah ada yang meminta semula tambang bagi Oktober yang dibayar pada hujung September.
“Pilihan di tangan tuan dan puan. Kami peniaga, jika terus rugi, kami tukar perniagaan lain,” katanya.