Pengusaha ATV, chalet rugi akibat banjir kilat berulang di Janda Baik
Pengusaha ATV, chalet rugi akibat banjir kilat berulang di Janda Baik
BENTONG – Pengusaha kenderaan All Terrain Vehicle (ATV ) dan chalet kerugian ratusan ribu ringgit apabila kawasan mereka dibanjiri akibat hujan lebat yang melanda kawasan itu kira-kira 4 jam di Kampung Pulau Santap, Bentong, hari ini.
Kejadian hujan yang turun dengan lebat mula pada jam 4 pagi dan reda 5 jam kemudian menyebabkan penduduk dan pengusaha ATV dan chalet di situ terkejut kerana kejadian berlaku awal pagi tanpa melakukan sebarang persediaan.
Seorang pengusaha ATV, Mohd Zaimi Mustaffa, 43 tahun berkata, dia serta merta bergegas ke tempat simpanan kenderaan itu pada jam 5.00 pagi setelah dimaklumkan oleh rakannya mengenai paras air Sungai Santap mula naik dan melimpah ke kawasan lapang.
“Bila tiba di sini, saya hanya sempat menyelamat 10 buah ATV sahaja dan 25 buah lagi telah dihanyutkan air ke dalam sungai kerana air sangat deras setinggi hampir satu meter.
“Kerugian dianggarkan hampir RM200,000 termasuk beberapa buah motor-cross, termasuk yang baru dibelinya minggu lepas” katanya.
Zaimi yang telah mengusahakan sukan motor lasak itu hampir 10 tahun lalu turut rugi pada kejadian banjir pada Disember 2021 dan banyak ATV turut hanyut termasuk peralatan alat ganti dan alatan lain.
“Sedih kerana baru perniagaan ini mula dikunjungi orang ramai selepas kejadian Disember tahun lalu, kini banjir datang lagi.
“Kerugian tahun lalu belum sempat reda, banjir datang sekelip mata dalam waktu yang singkat di awal pagi, cuti sebulan sempena bulan puasa, selepas raya dijangka beroperasi semua tapi hampa,”katanya.
Seorang penduduk di situ, Nik Soh Nik Leh berkata, hujan lebat yang berterusan kira-kira empat jam, air terus melimpah dari arah Sungai Santap kira-kira 50 meter dari rumahnya.
“Kami sekeluarga terkejut kerana tidak menjangka kejadian berulang lagi, air naik kira-kira satu meter (4 kaki) di awal subuh dan terus cuba mengalihkan perabot tapi gagal kerana air naik mendadak.
“Oleh kerana air tidak surut hampir 2 jam, maka kami bertahan sahaja menunggu air surut pada jam 8.00 pagi,”katanya.
Seorang penduduk dan operator chalet, Mohd Rozaha Mohd Noor, berkata sebenarnya sudah banyak kali banjir berlaku di kampung itu, tetapi yang sangat besar pada Disember 2021 dan Mac lalu dan pada hari ini.
“Dulu sungai sangat cantik, air jernih dan agak dalam tetapi sejak pembangunan di bahagian atas bukit menyebabkan setiap hujan lebat turut membawa hakisan tanah lumpur, kayu, pasir dan batu-batan menyebabkan sungai semakin cetek dan tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak.
“Kesan daripada itu, menyebabkan air sungai mudah melimpah dan masuk ke dalam rumah saya termasuk chalet dan rumah inap desa yang mengakibatkan kerugian,” katanya.
Katanya, kerugian itu termasuk membaikpulih kawasan yang dipenuhi lumpur dan puin-puin dan kayu hanyut, pasir dan batu-batan.
“Kami terpaksa menyewa jentera traktor untuk mengalihkan semua tinggalan banjir supaya bersih seperti sediakala.
“Terpaksa mengupah pekerja membersih chalet yang sudah dimasukki lumpur dan pasir termasuk membaikki perabot yang rosak,” katanya.-SAHIH.