Pengunjung ke Kuala Tahan dinasihat keluar segera untuk elak terputus hubungan
Pengunjung ke Kuala Tahan dinasihat keluar segera untuk elak terputus hubungan
Foto atas: Ikonik jambatan gantung di Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut
JERANTUT – Kira-kira 160 orang pelancong yang terkandas terus menyambung penginapan mereka di beberapa buah chalet dan rumah penginapan di sekitar Kuala Tahan ekoran laluan utama untuk keluar ke bandar Jerantut masih dinaiki air, mulai semalam.
Pengusaha Danz Eco Resort, Rasdan Salleh berkata, pengunjung yang menginap di situ telah dimaklumkan kejadian laluan utama keluar ke bandar Jerantut terputus, mereka terus menyambung penginapan sementara menunggu air surut.
“Pihak pengurusan resort kami telah memaklumkan kepada mereka laluan terputus dan menasihati mereka dengan tindakan alternatif, sebaliknya mereka memilih untuk menyambung penginapan.
“Lima puluh enam pengunjung di resort ini datang dari Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang sudah sedia maklum dan tidak mahu mengambil risiko terkandas di laluan dan terus menginap di sini,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pihak resort Danz juga bimbang dengan keselamatan dan kebajikan pengunjung yang menginap di sini, oleh itu langkah terbaik ialah menasihati mereka untuk keluar segera sebaliknya menyambung menginap sehingga laluan dibuka semula.
Sementara itu, Ketua Polis Jerantut, Suprintenden Mazlan Hassan berkata, pengunjung domestik yang menginap di 19 buah chalets dan pusat inap milik pengusaha tempatan mula dibawa keluar mulai jam 2.40 petang, hari ini menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Tahan ke Kampung Paya Garok dekat sini.
“Mereka kemudiannya dibawa menyeberangi kawasan yang dinaiki air dengan bot pihak berkuasa ke kawasan laluan yang selamat, berdekatan Jerantut Feri dan juga laluan berdekatan Kampung Merting untuk keluar ke bandar Jerantut.
“Polis menasihatkan pengunjung yang masih bercuti dan berada di Taman Negara supaya pulang lebih awal memandangkan cuaca musim tengkujuh sehingga ini tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.-SAHIH.