Pengundi Pelangai ada kuasa buat pilihan bijak
Pengundi Pelangai ada kuasa buat pilihan bijak
BENTONG – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi di Pelangai membuat keputusan bijak pada 7 Oktober ini.
Beliau berkata, pengundi di kawasan itu mempunyai pilihan untuk terus menikmati pembangunan atau kembali ‘ketinggalan’ jika tersilap membuat pilihan.
“Soalnya adakah 7 Oktober nanti kita mahu menoleh ke belakang atau kita mahu memandang ke hadapan?
“Ini adalah masa yang sesuai kepada rakyat memandang ke hadapan dan melupakan zaman silam yang kelam.
“Bagi saya inilah ketika yang paling sesuai untuk kita memandang ke hadapan dan kita lupakan zaman-zaman silam yang kelam.
“Dan bagi kita bila kita masuk ke suatu terowong zaman apabila ada cahaya yang terang-benderang di hadapan sana, kita berjalanlah dengan laju untuk kita menggapai cahaya yang terang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perasmian Sentuhan Kasih @ Simpang Pelangai Mini KUD dan Expo TVET KKDW di Dataran Simpang Pelangai, petang semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
“Bagaimanakah kita mahu menangani persepsi yang sengaja diwujudkan oleh orang yang tak suka dengan kita.
“Kalau nak tanya yang baik, tanya kawan. Insya-Allah kawan tidak makan kawan.
“Tanyalah yang buruk pada lawan atau seteru pasti apa juga yang baik dia kata tidak baik.
“Oleh sebab itu 7 Oktober ini adalah tarikh penentuan untuk orang-orang Pelangai,” katanya.- SAHIH