Pengundi Cina pilih dacing
Pengundi Cina pilih dacing
BENTONG – Kira-kira 3,000 pengundi Cina dijangka akan sebulat hati memilih dacing pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai.
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam berkata nilai kemuafakatan antara pengundi Tionghua menunjukkan 100 peratus sokongan kepada kerajaan.
“Perpaduan kaum dan budaya yang baik berjaya diterapkan Kerajaan Perpaduan.
“Kalau masyarakat boleh lihat sebenarnya mereka yang hadir memberi sokongan 100 peratus kepada gabungan BN-PH.
“Semua masyarakat Cina di sini menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan hari ini,” katanya.
Amizar berkata demikian ketika menyantuni kira-kira 1,000 masyarakat Tionghua di Telemong malam tadi.
Melihat kepada sokongan diberikan kepada BN, beliau yakin dapat meraih undi daripada masyarakat Tionghua di kampung itu.
“Memang kita yakin untuk menang dan ini adalah antara usaha kita lakukan,” katanya.
PRK Pelangai diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu.
Pada pilihan raya umum ke-15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi.
DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu, manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan Orang Asli pula masing-masing 10 peratus.- SAHIH