PENGUMUMAN PKP TIDAK DISAMBUNG
PENGUMUMAN PKP TIDAK DISAMBUNG
KUALA LUMPUR: Pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan mengenai kemungkinan tidak akan menyambung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan digantikan dengan PKP Bersyarat (PKPB) bertujuan meredakan keadaan.
Pengumuman itu dibuat Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semalam, susulan susulan tular di media sosial kononnya kerajaan akan melaksanakan PKP 3.0 yang lebih ketat, sebaik PKP 2.0 berakhir pada 4 Februari ini.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, biarlah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian dahulu dan Dr Noor Hisham memberi gambaran kemungkinan PKP tidak akan dilanjutkan bagi menjawab isu sedang tular di media sosial.
GAMBAR HIASAN
Menurutnya, isu tular itu seolah-olah ia seperti disahkan bahawa PKP akan diperketatkan selepas ini sehingga tiada perniagaan dibenarkan beroperasi dan tidak boleh keluar masuk sehingga menyebabkan berlakunya pembelian panik.
“Sebab itu, Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkannya bagi meredakan keadaan, namun keputusan sebenar akan diumumkan setelah KKM berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Mungkin selepas itu dengan Kementerian Kewangan dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) supaya kepentingan kedua-dua pihak iaitu kesihatan dan ekonomi dapat dijaga,” katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.
GAMBAR HIASAN
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, aktiviti mengayuh basikal pada jarak 10 kilometer yang dibenarkan itu mestilah bermula dari rumah, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, berkaitan larangan mesyuarat bersemuka, tidak ada sebab ada kementerian tidak patuh kepada larangan itu kerana sesiapa sahaja tidak terkecuali.
“Peraturan dan arahan sudah dikeluarkan, malah sidang khas MKN diadakan secara maya…jika rakyat patuh, kementerian perlu patuh pada arahan itu,” katanya.