PENGUATKUASA SYARIAH KAKI CABUL DIPENJARA
KUALA TERENGGANU: Seorang penguatkuasa syariah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya.
Majistret Nordiana Abd Aziz menjatuhi hukuman itu terhadap Ahmad Fakkarudin Wahab, 30, yang mengaku salah terhadap dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 40 tahun dengan niat mencabul kehormatan mangsa di sebuah pejabat kerajaan, jam 4.20 petang pada 25 November tahun lalu, lapor BH ONLINE.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengaibkan kehormatan mangsa di lokasi sama pada 10 pagi 25 November tahun lalu.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 14 bulan dan 12 bulan bagi pertuduhan pertama serta kedua.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Sebelum ini, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Bagaimanapun, selepas tiga saksi pendakwaan dipanggil, tertuduh menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full, manakala tertuduh diwakili peguam, Othman Bakar.
Terdahulu, Ka Full meminta hukuman berbentuk pencegahan kerana ia gangguan seksual di tempat kerja yang sering berlaku dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.
Katanya, kejadian itu turut memberikan trauma cukup mendalam kepada mangsa hingga menangis ketika memberi keterangan di mahkamah.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kakitangan kerajaan di negeri ini ditahan polis selepas didakwa mencabul rakan sekerjanya.
Suspek mengekori mangsa yang ketika itu mahu menunaikan solat Asar di sebuah bilik sebelum bertindak memegang tangan mangsa. Mangsa mendakwa sering menjadi mangsa gangguan seksual suspek di pejabat sejak tiga tahun lalu.
Lelaki itu ditahan jam 3.40 petang 6 Disember tahun lalu di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin.