PENGIAT DAN PENGUSAHA EKO PELANCONGAN SAMBUT BAIK TAMAN NEGARA KUALA TAHAN DIBUKA
PENGIAT DAN PENGUSAHA EKO PELANCONGAN SAMBUT BAIK TAMAN NEGARA KUALA TAHAN DIBUKA
JERANTUT : Kira-kira 300 orang penggiat dan pengusaha eko pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut mampu menarik nafas lega dan bersyukur dengan pembukaan semula taman peranginan hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun itu sebagai persediaan meraih pendapatan menjelang tahun baharu 2022.
Tidak sampai tempoh sebulan mereka berpeluang untuk memperoleh pendapatan sebelum musim tengkujuh tiba, pengumuman daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), telah bersetuju membuka lapan buah taman peranginan dan rekreasi di semenanjung dibenarkan beroperasi melalui surat edaran yang dikeluarkan, semalam.
Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim memaklumkan pihak jabatan itu bersetuju membuka lapan buah taman peranginan dan rekreasi dan empat daripadanya di Pahang.
Pahang yang memasuki fasa empat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelmarin memberi peluang serta kemudahan bagi pengunjung melawat keempat buah kawasan rekreasi dan pusat peranginan Taman Negara negeri ini setelah dibuka semula mulai 12 Oktober , semalam.
Kenyataan itu menyebut taman ekopelancongan dan rekreasi dibuka di Pahang, iaitu Taman Negara Pahang di Kuala Tahan (Jerantut), Taman Negara Pahang di Sungai Relau, Merapoh (Lipis), Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah (Lanchang) dan Taman Ramsar di Tasek Bera (Bera).
Pengusaha rumah inap Greenland Guest House, Afzal Abdul Aziz berkata, cuma tidak sampai sebulan sahaja lagi sebelum beralih ke musim tengkujuh awal bulan November ini penggiat dan pengusaha di situ cuba memperoleh rezeki sekiranya ada kehadiran pelawat ke situ.
“Semua pengurus kawasan pelancongan dan jabatan (Perhilitan) yang bertugas dan pelawat yang memasuki kawasan ekopelancongan perlu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) serta arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
“Sehingga ini, pusat inap saya masih lagi tidak ada tempahan berkemungkinan pelawat masih belum mengetahui tarikh pembukaan taman ini dan yakin serta berharap ada pelawat datang menginap hujung minggu ini, ” katanya.
Pengusaha ekopelancongan Kampung Kuala Sat, Alias Hashim berkata, pembukaan Taman Negara Kuala Tahan mulai hari semalam memberi peluang kepada pengusaha di situ yang memasarkan pelbagai budaya dan keindahan alam sekitar kampung tradisional Melayu Ulu Tembeling termasuk Orang Asli etnik Bateq di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Sat.
“Kita bersyukur kerana Pahang memasuki fasa empat PPN dan membolehkan kampung kami (Kuala Sat) dikunjungi semula oleh pengunjung dari luar setelah program ekopelancongan kampung ini ‘mati’ hampir setahun akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kehadiran pengunjung ke sini bolehlah memulihkan semula pendapatan pengusaha di sini khususnya dalam kalangan penduduk setempat yang semata-mata bergantung sepenuhnya pekerjaan dalam sektor ini,” katanya di Kampung Kuala Sat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, dia serta rakan penggiat dan pengusaha di Kuala Tahan berasa lega dan bersyukur apabila sektor ekopelancongan kembali dibuka.
“JKKK akan memantau dan sentiasa menasihatkan penggiat dan pengusaha di sini supaya memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu walaupun kebanyakan mereka termasuk penduduk di sini sudah menerima vaksin lengkap,” katanya.-SAHIH.
Foto: Media Sosial