Penghuni Sang Riang Dikunjungi Kakitangan Kesihatan Pergigian
Penghuni Sang Riang Dikunjungi Kakitangan Kesihatan Pergigian
BERA – Seramai 331 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang menerima kunjungan dan rawatan pergigian oleh kakitangan klinik pergigian Bera, di sini, hari ini.
Kunjungan itu adalah bagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan gigi dan khidmat nasihat kepada penghuni rumah kebajikan itu.
Pengerusi rumah kebajikan berkenaan, Yap Yoke Moey berkata, selain pemeriksaan gigi, petugas kesihatan turut mengadakan kursus asas senaman kepada warga emas yang ditempatkan di rumah terbabit.
“Perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian ini dilakukan secara berperingkat dan hari ini, seramai 100 penghuni diperiksa kakitangan klinik pergigian Bera dan selebihnya akan dilakukan esok serta hujung minggu ini,” katanya.
Yoke Moey berkata, seramai 161 pesakit mental di rumah kebajikan itu pula menerima rawatan oleh pasukan petugas khas di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meluluskan permohonan rumah kebajikan itu menyediakan penempatan kepada lebih 500 warga emas.
“Sekarang kita ada sekitar 300 lebih penghuni, jadi masih ada kekosongan dan kami mengalu-alukan lebih ramai datang dan menetap di rumah kebajikan kami.
“Kita menyediakan semua kelengkapan diperlukan dan rumah kebajikan ini juga menerima semua warga emas tanpa mengira bangsa atau agama mereka,” katanya.-SAHIH