Penghantar makanan maut dilanggar bas
Penghantar makanan maut dilanggar bas
Kota Bharu – Penghantar makanan maut akibat dilanggar sebuah bas selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Kota Bharu – Pasir Mas, dekat sini, malam tadi.
Sebelum itu, mangsa, Muhammad Amin Maula Ismail, 24, dipercayai terlanggar belakang sebuah kereta yang mengundur dari perkarangan sebuah masjid berhampiran lokasi untuk memasuki laluan utama. Ia menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan bertentangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, pada kejadian 8.30 malam itu, mangsa menunggang motosikal dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.
“Sampai di lokasi kemalangan iaitu berhadapan Surau Haji Sulong Parit Cina, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 73 tahun yang baru selesai solat Isyak mengundur ingin memasuki laluan utama.
“Disebabkan jarak yang dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang sisi kanan kereta itu dan terjatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah bas yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shuhaimi berkata, mangsa yang parah di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Harian Metro.